Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ
ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta
salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan
pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Akhlak berasal dari perkataan al-khuluq. Al-khuluq bererti
tabiat atau tingkah laku. Akhlak yang mulia adalah matlamat utama bagi ajaran
Islam. Ini telah dinyatakan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dalam
hadisnya yang bermaksud :“Sesungguhnya aku diutuskan hanyalah untuk
menyempurnakan akhlak yang mulia”.
Abu Darda berkata, bersabda Nabi SAW maksudnya : “Tiada
sesuatu yang lebih berat dalam timbangan seorang mukmin di hari kiamat daripada
husnul Khulq (akhlak yang baik).” (Hadis Riwayat Tirmidzi)
Aisyah r.ha. berkata, “Saya telah mendengar Rasulullah SAW.
bersabda, 'Sesungguhnya seorang mukmin yang dapat mengejar budi pekerti yang
baik, darjat orang itu sama seperti orang yang terus menerus berpuasa dan solat
malam'.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
Akhlak yang mulia adalah merupakan tanda dan hasil dari iman
yang sebenar. Tidak ada nilai bagi iman yang tidak disertai oleh akhlak.
Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Bukanlah iman itu hanya dengan
cita-cita tetapi iman itu ialah keyakinan yang tertanam di dalam hati dan
dibuktikan dengan amalan." (Hadis riwayat Ad-Dailami).
Jabir ra. berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
“Sesungguhnya orang yang sangat saya kasihi dan terdekat denganku pada hari
kiamat nanti adalah orang terbaik akhlaknya. Dan orang yang sangat aku benci
dan terjauh dariku pada hari kiamat nanti adalah orang yang banyak bicara,
sombong dalam pembicaraannya, dan berlagak menunjukan kepandaiannya.” (Hadis
Riwayat Tirmidzi).
Islam adalah ajaran yang benar untuk memperbaiki manusia dan
membentuk akhlaknya demi mencapai kehidupan yang baik. Islam memperbaiki
manusia dengan cara terlebih dahulu memperbaiki jiwa, membersihkan hati dan
menanamkan sifat-sifat terpuji. Islam benar-benar dapat membawa manusia untuk
mencapai kebahagiaan, kelapangan dan ketenteraman.
Sebaliknya manusia akan menjadi hina apabila ia merosakkan
sifat, pembawaan dan keadaan dalam jiwanya.
Terdapat 10 ciri-ciri akhlak yang mulia akan menghiasi diri
seseorang insan supaya ia menjadi seorang mukmin yang benar.
Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :
Pertama : Bersifat warak dan meninggalkan perkara yang syubhat
Seorang muslim mestilah menjauhkan dirinya dari segala
perkara yang dilarang oleh Allah SWT dan juga perkara-perkara yang samar-samar
di antara halal dan haramnya (syubhat) berdasarkan dari hadis Rasulullah SAW
bersabda maksudnya
:Daripada Abu Abdullah al-Nu'man ibn Basyer r.a. beliau
berkata: Aku telah mendengar Rasulullah Sallallahu’Alaihi Wasallam bersabda:
"Sesungguhnya yang halal itu nyata (terang) dan haram itu nyata (terang)
dan di antara keduanya ada perkara-perkara yang kesamaran, yang tidak diketahui
oleh kebanyakan manusia. Maka barangsiapa memelihara (dirinya dari) segala yang
kesamaran, sesungguhnya ia memelihara agamanya dan kehormatannya. Dan
barangsiapa jatuh kedalam perkara kesamaran jatuhlah ia kedalam yang haram,
seperti seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan,
hampir sangat (ternakannya) makan di dalamnya. Ketahuilah! Bahawa bagi
tiap-tiap raja ada kawasan larangan. Ketahuilah! Bahawa larangan Allah ialah
segala yang diharamkan-Nya. Ketahuilah! Bahawa di dalam badan ada seketul
daging, apabila ia baik, baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak,
rosakkalah sekeliannya. Ketahuilah! Itulah yang dikatakan hati. (Hadis Riwayat
Bukhari dan Muslim)
Adapun setinggi-tinggi pencapaian darjat warak adalah sebagaimana Rasulullah Sallallahu’Alaihi Wasallam
bersabda yang bermaksud : “Seorang hamba (Allah) itu tidaklah termasuk dalam
martabat golongan muttaqin sehinggalah ia meninggalkan sesuatu perkara yang
tidaklah menjadi kesalahan (jika dilakukan tetapi ia meninggalkannya) kerana
sikap berhati-hati dari terjerumus ke dalam kesalahan”
Kedua : Memelihara penglihatan.
Seseorang mukmin itu mestilah memelihara pandangan daripada
melihat perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT kerana pandangan
terhadap sesuatu (yang menarik itu) boleh merangsang syahwat dan boleh membawa
ke kancah pelanggaran dan maksiat. Sehubungan dengan ini Al-Quranul Karim
mengingatkat orang –orang mukmin supaya memelihara diri dari penglihatan yang
tidak memberi faedah, firman Allah SWT maksudnya :
"Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman:
"Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang
demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, Sesungguhnya Allah Maha mengetahui
apa yang mereka perbuat". (Surah an-Nur ayat 30)
Nabi SAW bersabda maksudnya : “Hendaklah kamu memelihara
pandangan kamu, menjaga kehormatan (kemaluan) kamu atau Allah akan menghodohkan
wajah kamu.” (Hadis Riwayat At Tabrani)
Ketiga : Memelihara Lidah
Seseorang mukmin itu mestilah memelihra lidahnya dari
menuturkan kata-kata yang tidak berfaedah, memfitnah, berdusta, berbohong,
memaki-hamun dengan perkataan yang buruk dan kotor, percakapan-percakapan
kosong, mengumpat, mengeji dan mengadu domba.
Imam Nawawi rahimahumullah mengatakan. “Ketahuilah, seorang
mukallaf itu sewajarnya menjaga lidahnya dari sebarang percakapan kecuali
percakapan yang menghasilkan kebaikan. Apabila bercakap dan berdiam diri adalah
sama sahaja hasilnya, maka mengikut sunnahnya adalah lebih baik berdiam diri
kerana percakapan yang diharuskan mungkin membawa kepada yang haram atau
makruh. Kejadian demikian telah banyak berlaku tetapi kebaikan darinya adalah
jarang.”
Sebenarnya banyak dari hadis-hadis Rasulullah
Sallallahu’Alaihi Wasallam yang menerangkan keburukan dan bencana lidah ke atas
empunya diri.
Nabi SAW bersabda maksudnya : “Tidaklah dihumbankan muka
manusia kedalam neraka itu sebagai hasil tuaian (buruk) lidahnya”
(Hadis Riwayat Tarmizi)
Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya :
“Bukanlah ia seorang mukmin (jika) jika ia suka menuduh, melaknat, bercakap
kotor dan keji.” (Hadis Riwayat Tarmizi)
Sabda baginda lagi maksudnya : “Sesiapa yang banyak
bercakap, maka banyaklah kesalahannya, sesiapa yang banyak kesalahannya, maka
banyaklah dosanya, dan sesiapa yang banyak dosanya, api nerakalah paling layak
untuk dirinya.”
(Hasid Riwayat Baihaqi)
Keempat : Bersifat Pemalu.
Seorang mukmin mestilah bersifat pemalu dalam setiap
keadaan. Namun demikian sifat tersebut tidak seharusnya menghalangnya
memperkatakan kebenaran. Di antara sifat pemalu seseorang ialah ia tidak masuk
campur urusan orang lain, memelihara pandangan, merendah diri, tidak
meninggikan suara ketika bercakap, berasa cukup serta memadai sekadar yang ada
dan sifat-sifat seumpamanya.
Daripada Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW
bersabda maksudnya : “Iman itu lebih daripada 70 cabang, yang terbaik
daripadanya ialah mengucapkan La ilaha illallah (Tiada tuhan yang patut
disembah kecuali Allah SWT) dan yang paling rendah ialah membuang sesuatu yang
menyakiti ditengah jalan, dan malu itu satu cabang daripada iman”. (Hadis
Riwayat Muslim, bab menerangkan bilangan cabang iman, bil. 153)
Berhubung dengan sifat malu ini para ulama mengatakan:
“Hakikat malu itu ialah sifat yang menggerakkan seseorang itu meninggalkan
kejahatan, dan menghalangnya dari mencuaikan hak orang lain.
Kelima : Bersifat Lembut dan Sabar
Di antara sifat-sifat yang paling ketara yang wajib tertanam
di dalam diri seseorang mukmin ialah, sifat sabar dan berlemah lembut kerana
kerja-kerja untuk Islam akan berhadapan dengan perkara-perkara yang tidak
menyenangkan, malah jalan dakwah sememangnya penuh dengan kepayahan,
penyeksaan, penindasan, tuduhan, ejekan dan persendaan yang memalukan.
Halangan–halangan ini sering dihadapi oleh para petugas ‘amal Islami sehingga
himmah dan lemah lembut mereka menjadi pudar, gerakan menjadi lumpuh malah
mereka mungkin terus berpaling meninggalkan medan dakwah.
Dari keterangan ini jelaslah, tugas dan tanggungjawab
seorang pendakwah adalah satu tugas yang amat sukar. Ia bertanggungjawab
menyampaikan dakwah kepada seluruh lapisan manusia yang berbeza kebiasaan,
taraf pemikiran dan tabiatnya.
Firman Allah SWT maksudnya : “Tetapi orang yang bersabar dan
memaafkan, sesungguhnya (perbuatan) yang demikian itu termasuk hal-hal yang
diutamakan”.(Surah al-Syura ayat 43)
Firman-Nya lagi yang bermaksud : “Dan hendaklah mereka
memaafkan dan berlapang dada, apakah kamu tidak ingin Allah mengampunimu?”.
(Surah an-Nur ayat 22)
“Dan apabila orang-oran jahil
menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata (yang mengandungi) keselamatan”.
(Surah al-Furqan ayat 63)
Sabda-sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam yang
bermaksud : “Sesungguhnya seorang hamba itu akan mencapai darjat orang-orang
yang berpuasa serta bersembahyang malam dengan sifat lemah-lembutnya.”
Sabda Nabi SAW maksudnya : “Mahukah aku memberitahu kamu
suatu perkara yang dengannya, Allah akan memuliakan binaan (kedudukan
seseorang) dan mengangkatnya kepada beberapa darjat ketinggian. Mereka menjawab:
Ya wahai Rasulullah. Baginda bersabda: “Berlemah-lembutlah kamu terhadap orang
jahil, maafkanlah orang yang menzalimi kamu, hulurkanlah pemberian kepada orang
yang menahan pemberiannya kepadamu dan sambunglah ikatan silaturrahim terhadap
orang yang memutuskannya terhadap kamu.”
Sabda Nabi SAW maksudnya : “Apabila Allah Subhanahuwata’ala
telah menghimpunkan makkhluknya di hari kiamat, penyeru pada hari itu pun
menyeru; “Di manakah orang-orang yang mempunyai keistimewaan”. Baginda
bersabda: Lalu bangun segolongan manusia dan bilangan mereka adalah sedikit.
Mereka semua bergerak dengan cepat memasuki syurga lalu disambut oleh para
malaikat. Kemudian mereka ditanya: “Apakah keistimewaan kamu”. Mereka menjawab:
“Adalah kami ini apabila dizalimi kami bersabar, apabila dilakukan kejahatan
kepada kami, kami berlemah-lembut”, lalu dikatakan kepada mereka: “Masuklah
kamu ke dalam syurga kerana ia adalah sebaik-baik ganjaran bagi orang yang
beramal”
Keenam : Bersifat Benar dan Jujur.
Seorang mukmin itu mestilah bersifat benar dan tidak
berdusta. Berkata benar sekalipun kepada diri sendiri kerana takut kepada Allah
SWT dan tidak takut kepada celaan orang. Sifat dusta adalah sifat yang paling
jahat dan hina malahan ia menjadi pintu masuk kepada tipu daya syaitan. Seorang
yang memelihara dirinya dari kebiasaan berdusta bererti ia memiliki pertahanan
dan benteng yang dapat menghalang dari was-was syaitan dan
lontaran-lontarannya.
Berhati-hati dan memelihara diri dari sifat dusta akan
menjadikan jiwa seorang itu mempunyai pertahanan dan benteng yang kukuh
menghadapi hasutan dan tipu daya syaitan. Dengan demikian jiwa seseorang akan
sentiasa bersih, mulia dan terhindar dari tipu daya syaitan. Sebaliknya sifat
dusta meruntuhkan jiwa dan membawa kehinaan kepada peribadi insan. Lantaran itu
Islam mengharamkan sifat dusta dan menganggap sebagai satu penyakit dari
penyakit-penyakit yang dilaknat.
Rasulullah Sallallahu’ Alaihi Wasallam bersabda yang
bermaksud :
“Sesungguhnya sifat benar membawa
kepada kebajikan dan sesungguhnya kebajikan itu membawa ke syurga. Seseorang
yang sentiasa bersifat benar hinggalah dicatat di sisi Allah sebagai seorang
yang benar. Dan sesungguhnya sifat dusta itu membawa kepada kezaliman
(kejahatan) dan kejahatan itu membawa ke neraka. Seorang lelaki yang sentiasa
berdusta sehinggalah dicatat di sisi Allah sebagai seorang pendusta”.
(Hadis Riwayat Muttafaqun ‘alaihi)
Ketujuh : Bersifat rendah diri
Seseorang mukmin mestilah bersifat tawaduk atau merendah
diri khususnya terhadap saudara-maranya yang muslim dengan cara tidak
membezakan (dalam memberi layanan) sama ada yang miskin maupun yang kaya.
Rasulullh Sallallahu’Alaihi Wasallam sendiri memohon perlindungan kepada Allah
agar dijauhkan dari sifat-sifat takbur (membangga diri). Baginda bersabda maksudnya
:
“Tidak akan memasuki syurga sesiapa
yang di dalam hatinya terdapat sebesar zarah (sedikit) sifat takbur.”
(Hadis Riwayat Muslim)
Di dalam hadis qudsi Allah berfirman maksudnya : “Kemuliaan
itu ialah pakaianKu dan membesarkan diri itu ialah selendangKu. Sesiapa yang
cuba merebut salah satu dari keduanya pasti Aku akan menyeksanya”.
(Hadis Qudsi Riwayat Muslim)
Kelapan : Menjauhi sangka buruk dan mengumpat.
Menjauhi sangka buruk dan mengintai-intai keburukan orang
lain. Oleh itu seorang itu mestilah menjauhi sifat-sifat ini kerana mematuhi
firman Allah SWT maksudnya :
“Hai orang-orang yang beriman
jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian dari prasangka itu
adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah
sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang dari kamu
memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik
kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah maha penerima
taubat lagi penyayang”. (Surah al-Hujurat ayat
12)
Allah SWT berfirman lagi yang maksudnya : “Dan orang-orang
yang menyakiti orang-orang mukmin dan mukminat tanpa kesalahan yang mereka
perbuat, maka sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan dan dosa yang
nyata.”
(Surah al-Ahzab ayat 58)
Dan Rasulullah SAW bersabda maksudnya :
“Wahai golongan yang beriman dengan
lidahnya sahaja, sedang iman belum memasuki hatinya, janganlah kamu mengumpat
orang-orang Islam yang lain dan janganlah kamu mengintai-intai keburukan
mereka, kerana sesiapa yang mengintai-intai keburukan saudaranya, Allah akan
membongkar keburukannya sekalipun ia berada di dalam rumahnya.” (Hadis Riwayat
Abu Daud)
Kesembilan : Bersifat pemurah.
Seorang mukmin mestilah bersifat pemurah, sanggup berkorban
dengan jiwa dan harta bendanya pada jalan Allah. Di antara cara yang dapat
menyingkap kebakhilan seseorang itu ialah dengan cara memintanya membelanjakan
wang ringgit kerana berapa banyak dari kalangan mereka yang berkedudukan,
berharta dan berpangkat gugur dari jalan ini, lantaran rakus terhadap mata
benda. Di dalam al-Quran al-Karim sendiri terdapat banyak ayat yang menjelaskan
ciri-ciri keimanan yang dikaitkan dengan sifat pemurah.
Firman Allah SWT maksudnya : “Orang-orang yang mendirikan
solat dan yang menafkahkan sebagian dari rezeki
yang kami berikan kepada mereka.”
(Surah al-Anfal ayat 3)
Firman-Nya lagi yang bermaksud : “Dan apa saja harta yang
baik yang kamu nafkahkan (di jalan Allah) maka pahalanya itu untuk diri kamu
sendiri. Dan janganlah kamu membelanjakan sesuatu melainkan kerana mencari
keredhaan Allah. Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan nescaya kamu
akan diberikan pahalanya dengan cukup sedang kamu sedikitpun tidak
dianiayai”.(Surah al-Baqarah ayat 272)
Orang-orang yang bakhil atau kikir seharusnya mendengar dan
mengambil pelajaran dari pesanan Rasulullah Sallallahu’Alaihi Wasallam
maksudnya : “Tidaklah hamba-hamba Allah bangun di pagi hari, kecuali disertai
dengan turunnya dua malaikat. Salah satu dari keduanya lalu berkata : ‘Ya Allah
berilah orang yang berinfaq ganti (dari barang yang diinfaqkan)’. Dan salah
satu lagi berkata ; ‘Ya Allah berilah orang yang menahan (bakhil) akan
kerugian.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Kesepuluh : Qudwah Hasanah (Suri teladan yang baik)
Selain dari sifat-sifat yang disebutkan di atas, seorang
mukmin mestilah menjadikan dirinya contoh ikutan yang baik kepada orang ramai.
Segala tingkah lakunya adalah menjadi gambaran kepada prinsip-prinsip Islam
serta adab-adabnya seperti dalam hal makan minum, cara berpakaian, cara
pertuturan, dalam suasana aman, dalam perjalanan malah dalam seluruh tingkah
laku dan diamnya. Membina diri menajdi suri teladan merupakan peranan besar
yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah SAW.
Firman Allah swt yang bermaksud: "Sesungguhnya telah
ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang
yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak
menyebut Allah " ( Surah al-Ahzab Ayat 21 )
Marilah kita beramal dengan 10 ciri-ciri akhlak mulia dan
terpuji seperti yang dinyatakan di atas. Akhlak yang mulia dan terpuji adalah
asset yang besar di dunia dan akhirat. Jika di dunia kita akan dikasihi
oleh manusia dan akan menjadi ikutan dan
jika di akhirat akhlak yang mulia dan terpuji adalah menjadikan amalan yang
memberatkan timbangan (mizan) kita di sana. Jadikanlah akhlak yang terpuji ini
sebagai pakaian hidup kita dan menjadikan kita hamba Allah SWT yang diredai-Nya
di dunia dan akhirat.
Dipetik dan disesuaikan dari
No comments:
Post a Comment