Thursday 24 January 2013

Usrah mingguan

Alhamdulillah, Usrah mingguan pelajar pra-universiti SMKDPB (SMK.Dato' Penggawa Barat) telah dapat dijalankan dengan terancang dan teratur. Setiap kumpulan dapat menjalankan usrah dengan bimbingan guru-guru terlibat dan penglibatan ahli setiap kumpulan amat memberangsangkan walaupun inilah julung-julung kalinya usaha usrah di kalangan pelajar SMKDPB diadakan.

Sunday 20 January 2013

Hayati 10 Sifat dan Akhlak Terpiji



Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Akhlak berasal dari perkataan al-khuluq. Al-khuluq bererti tabiat atau tingkah laku. Akhlak yang mulia adalah matlamat utama bagi ajaran Islam. Ini telah dinyatakan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dalam hadisnya yang bermaksud :“Sesungguhnya aku diutuskan hanyalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia”.

Abu Darda berkata, bersabda Nabi SAW maksudnya : “Tiada sesuatu yang lebih berat dalam timbangan seorang mukmin di hari kiamat daripada husnul Khulq (akhlak yang baik).” (Hadis Riwayat Tirmidzi)

Aisyah r.ha. berkata, “Saya telah mendengar Rasulullah SAW. bersabda, 'Sesungguhnya seorang mukmin yang dapat mengejar budi pekerti yang baik, darjat orang itu sama seperti orang yang terus menerus berpuasa dan solat malam'.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Akhlak yang mulia adalah merupakan tanda dan hasil dari iman yang sebenar. Tidak ada nilai bagi iman yang tidak disertai oleh akhlak.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya :  "Bukanlah iman itu hanya dengan cita-cita tetapi iman itu ialah keyakinan yang tertanam di dalam hati dan dibuktikan dengan amalan." (Hadis riwayat Ad-Dailami).

Jabir ra. berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Sesungguhnya orang yang sangat saya kasihi dan terdekat denganku pada hari kiamat nanti adalah orang terbaik akhlaknya. Dan orang yang sangat aku benci dan terjauh dariku pada hari kiamat nanti adalah orang yang banyak bicara, sombong dalam pembicaraannya, dan berlagak menunjukan kepandaiannya.” (Hadis Riwayat Tirmidzi).


Islam adalah ajaran yang benar untuk memperbaiki manusia dan membentuk akhlaknya demi mencapai kehidupan yang baik. Islam memperbaiki manusia dengan cara terlebih dahulu memperbaiki jiwa, membersihkan hati dan menanamkan sifat-sifat terpuji. Islam benar-benar dapat membawa manusia untuk mencapai kebahagiaan, kelapangan dan ketenteraman.

Sebaliknya manusia akan menjadi hina apabila ia merosakkan sifat, pembawaan dan keadaan dalam jiwanya.

Terdapat 10 ciri-ciri akhlak yang mulia akan menghiasi diri seseorang insan supaya ia menjadi seorang mukmin yang benar.

Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Bersifat warak dan meninggalkan perkara yang syubhat

Seorang muslim mestilah menjauhkan dirinya dari segala perkara yang dilarang oleh Allah SWT dan juga perkara-perkara yang samar-samar di antara halal dan haramnya (syubhat) berdasarkan dari hadis Rasulullah SAW bersabda maksudnya

:Daripada Abu Abdullah al-Nu'man ibn Basyer r.a. beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah Sallallahu’Alaihi Wasallam bersabda: "Sesungguhnya yang halal itu nyata (terang) dan haram itu nyata (terang) dan di antara keduanya ada perkara-perkara yang kesamaran, yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia. Maka barangsiapa memelihara (dirinya dari) segala yang kesamaran, sesungguhnya ia memelihara agamanya dan kehormatannya. Dan barangsiapa jatuh kedalam perkara kesamaran jatuhlah ia kedalam yang haram, seperti seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, hampir sangat (ternakannya) makan di dalamnya. Ketahuilah! Bahawa bagi tiap-tiap raja ada kawasan larangan. Ketahuilah! Bahawa larangan Allah ialah segala yang diharamkan-Nya. Ketahuilah! Bahawa di dalam badan ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak, rosakkalah sekeliannya. Ketahuilah! Itulah yang dikatakan hati. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Adapun setinggi-tinggi pencapaian darjat warak adalah sebagaimana  Rasulullah Sallallahu’Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud : “Seorang hamba (Allah) itu tidaklah termasuk dalam martabat golongan muttaqin sehinggalah ia meninggalkan sesuatu perkara yang tidaklah menjadi kesalahan (jika dilakukan tetapi ia meninggalkannya) kerana sikap berhati-hati dari terjerumus ke dalam kesalahan”

Kedua : Memelihara penglihatan.


Seseorang mukmin itu mestilah memelihara pandangan daripada melihat perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT kerana pandangan terhadap sesuatu (yang menarik itu) boleh merangsang syahwat dan boleh membawa ke kancah pelanggaran dan maksiat. Sehubungan dengan ini Al-Quranul Karim mengingatkat orang –orang mukmin supaya memelihara diri dari penglihatan yang tidak memberi faedah, firman Allah SWT maksudnya :

"Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang mereka perbuat". (Surah an-Nur ayat 30)

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Hendaklah kamu memelihara pandangan kamu, menjaga kehormatan (kemaluan) kamu atau Allah akan menghodohkan wajah kamu.” (Hadis Riwayat At Tabrani)

Ketiga : Memelihara Lidah


Seseorang mukmin itu mestilah memelihra lidahnya dari menuturkan kata-kata yang tidak berfaedah, memfitnah, berdusta, berbohong, memaki-hamun dengan perkataan yang buruk dan kotor, percakapan-percakapan kosong, mengumpat, mengeji dan mengadu domba.

Imam Nawawi rahimahumullah mengatakan. “Ketahuilah, seorang mukallaf itu sewajarnya menjaga lidahnya dari sebarang percakapan kecuali percakapan yang menghasilkan kebaikan. Apabila bercakap dan berdiam diri adalah sama sahaja hasilnya, maka mengikut sunnahnya adalah lebih baik berdiam diri kerana percakapan yang diharuskan mungkin membawa kepada yang haram atau makruh. Kejadian demikian telah banyak berlaku tetapi kebaikan darinya adalah jarang.”

Sebenarnya banyak dari hadis-hadis Rasulullah Sallallahu’Alaihi Wasallam yang menerangkan keburukan dan bencana lidah ke atas empunya diri.

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Tidaklah dihumbankan muka manusia kedalam neraka itu sebagai hasil tuaian (buruk) lidahnya”
(Hadis Riwayat Tarmizi)

Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya : “Bukanlah ia seorang mukmin (jika) jika ia suka menuduh, melaknat, bercakap kotor dan keji.” (Hadis Riwayat Tarmizi)

Sabda baginda lagi maksudnya : “Sesiapa yang banyak bercakap, maka banyaklah kesalahannya, sesiapa yang banyak kesalahannya, maka banyaklah dosanya, dan sesiapa yang banyak dosanya, api nerakalah paling layak untuk dirinya.”
(Hasid Riwayat Baihaqi)

Keempat : Bersifat Pemalu.


Seorang mukmin mestilah bersifat pemalu dalam setiap keadaan. Namun demikian sifat tersebut tidak seharusnya menghalangnya memperkatakan kebenaran. Di antara sifat pemalu seseorang ialah ia tidak masuk campur urusan orang lain, memelihara pandangan, merendah diri, tidak meninggikan suara ketika bercakap, berasa cukup serta memadai sekadar yang ada dan sifat-sifat seumpamanya.

Daripada Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Iman itu lebih daripada 70 cabang, yang terbaik daripadanya ialah mengucapkan La ilaha illallah (Tiada tuhan yang patut disembah kecuali Allah SWT) dan yang paling rendah ialah membuang sesuatu yang menyakiti ditengah jalan, dan malu itu satu cabang daripada iman”. (Hadis Riwayat Muslim, bab menerangkan bilangan cabang iman, bil. 153)

Berhubung dengan sifat malu ini para ulama mengatakan: “Hakikat malu itu ialah sifat yang menggerakkan seseorang itu meninggalkan kejahatan, dan menghalangnya dari mencuaikan hak orang lain.

Kelima : Bersifat Lembut dan Sabar


Di antara sifat-sifat yang paling ketara yang wajib tertanam di dalam diri seseorang mukmin ialah, sifat sabar dan berlemah lembut kerana kerja-kerja untuk Islam akan berhadapan dengan perkara-perkara yang tidak menyenangkan, malah jalan dakwah sememangnya penuh dengan kepayahan, penyeksaan, penindasan, tuduhan, ejekan dan persendaan yang memalukan. Halangan–halangan ini sering dihadapi oleh para petugas ‘amal Islami sehingga himmah dan lemah lembut mereka menjadi pudar, gerakan menjadi lumpuh malah mereka mungkin terus berpaling meninggalkan medan dakwah.

Dari keterangan ini jelaslah, tugas dan tanggungjawab seorang pendakwah adalah satu tugas yang amat sukar. Ia bertanggungjawab menyampaikan dakwah kepada seluruh lapisan manusia yang berbeza kebiasaan, taraf pemikiran dan tabiatnya.

Firman Allah SWT maksudnya : “Tetapi orang yang bersabar dan memaafkan, sesungguhnya (perbuatan) yang demikian itu termasuk hal-hal yang diutamakan”.(Surah al-Syura ayat 43)

Firman-Nya lagi yang bermaksud : “Dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada, apakah kamu tidak ingin Allah mengampunimu?”.
(Surah an-Nur ayat 22)

Dan apabila orang-oran jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata (yang mengandungi) keselamatan”.
(Surah al-Furqan ayat 63)

Sabda-sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam yang bermaksud : “Sesungguhnya seorang hamba itu akan mencapai darjat orang-orang yang berpuasa serta bersembahyang malam dengan sifat lemah-lembutnya.”

Sabda Nabi SAW maksudnya : “Mahukah aku memberitahu kamu suatu perkara yang dengannya, Allah akan memuliakan binaan (kedudukan seseorang) dan mengangkatnya kepada beberapa darjat ketinggian. Mereka menjawab: Ya wahai Rasulullah. Baginda bersabda: “Berlemah-lembutlah kamu terhadap orang jahil, maafkanlah orang yang menzalimi kamu, hulurkanlah pemberian kepada orang yang menahan pemberiannya kepadamu dan sambunglah ikatan silaturrahim terhadap orang yang memutuskannya terhadap kamu.”

Sabda Nabi SAW maksudnya : “Apabila Allah Subhanahuwata’ala telah menghimpunkan makkhluknya di hari kiamat, penyeru pada hari itu pun menyeru; “Di manakah orang-orang yang mempunyai keistimewaan”. Baginda bersabda: Lalu bangun segolongan manusia dan bilangan mereka adalah sedikit. Mereka semua bergerak dengan cepat memasuki syurga lalu disambut oleh para malaikat. Kemudian mereka ditanya: “Apakah keistimewaan kamu”. Mereka menjawab: “Adalah kami ini apabila dizalimi kami bersabar, apabila dilakukan kejahatan kepada kami, kami berlemah-lembut”, lalu dikatakan kepada mereka: “Masuklah kamu ke dalam syurga kerana ia adalah sebaik-baik ganjaran bagi orang yang beramal”

Keenam : Bersifat Benar dan Jujur.


Seorang mukmin itu mestilah bersifat benar dan tidak berdusta. Berkata benar sekalipun kepada diri sendiri kerana takut kepada Allah SWT dan tidak takut kepada celaan orang. Sifat dusta adalah sifat yang paling jahat dan hina malahan ia menjadi pintu masuk kepada tipu daya syaitan. Seorang yang memelihara dirinya dari kebiasaan berdusta bererti ia memiliki pertahanan dan benteng yang dapat menghalang dari was-was syaitan dan lontaran-lontarannya.

Berhati-hati dan memelihara diri dari sifat dusta akan menjadikan jiwa seorang itu mempunyai pertahanan dan benteng yang kukuh menghadapi hasutan dan tipu daya syaitan. Dengan demikian jiwa seseorang akan sentiasa bersih, mulia dan terhindar dari tipu daya syaitan. Sebaliknya sifat dusta meruntuhkan jiwa dan membawa kehinaan kepada peribadi insan. Lantaran itu Islam mengharamkan sifat dusta dan menganggap sebagai satu penyakit dari penyakit-penyakit yang dilaknat.

Rasulullah Sallallahu’ Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud :
Sesungguhnya sifat benar membawa kepada kebajikan dan sesungguhnya kebajikan itu membawa ke syurga. Seseorang yang sentiasa bersifat benar hinggalah dicatat di sisi Allah sebagai seorang yang benar. Dan sesungguhnya sifat dusta itu membawa kepada kezaliman (kejahatan) dan kejahatan itu membawa ke neraka. Seorang lelaki yang sentiasa berdusta sehinggalah dicatat di sisi Allah sebagai seorang pendusta”.
(Hadis Riwayat Muttafaqun ‘alaihi)

Ketujuh : Bersifat rendah diri


Seseorang mukmin mestilah bersifat tawaduk atau merendah diri khususnya terhadap saudara-maranya yang muslim dengan cara tidak membezakan (dalam memberi layanan) sama ada yang miskin maupun yang kaya. Rasulullh Sallallahu’Alaihi Wasallam sendiri memohon perlindungan kepada Allah agar dijauhkan dari sifat-sifat takbur (membangga diri). Baginda bersabda maksudnya :

Tidak akan memasuki syurga sesiapa yang di dalam hatinya terdapat sebesar zarah (sedikit) sifat takbur.”
(Hadis Riwayat Muslim)

Di dalam hadis qudsi Allah berfirman maksudnya : “Kemuliaan itu ialah pakaianKu dan membesarkan diri itu ialah selendangKu. Sesiapa yang cuba merebut salah satu dari keduanya pasti Aku akan menyeksanya”.
(Hadis Qudsi Riwayat Muslim)

Kelapan : Menjauhi sangka buruk dan mengumpat.

 

Menjauhi sangka buruk dan mengintai-intai keburukan orang lain. Oleh itu seorang itu mestilah menjauhi sifat-sifat ini kerana mematuhi firman Allah SWT maksudnya :

Hai orang-orang yang beriman jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian dari prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang dari kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah maha penerima taubat lagi penyayang”. (Surah al-Hujurat ayat  12)

Allah SWT berfirman lagi yang maksudnya : “Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang mukmin dan mukminat tanpa kesalahan yang mereka perbuat, maka sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan dan dosa yang nyata.”
(Surah al-Ahzab ayat 58)

Dan Rasulullah SAW bersabda maksudnya :
Wahai golongan yang beriman dengan lidahnya sahaja, sedang iman belum memasuki hatinya, janganlah kamu mengumpat orang-orang Islam yang lain dan janganlah kamu mengintai-intai keburukan mereka, kerana sesiapa yang mengintai-intai keburukan saudaranya, Allah akan membongkar keburukannya sekalipun ia berada di dalam rumahnya.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Kesembilan : Bersifat pemurah.

 

Seorang mukmin mestilah bersifat pemurah, sanggup berkorban dengan jiwa dan harta bendanya pada jalan Allah. Di antara cara yang dapat menyingkap kebakhilan seseorang itu ialah dengan cara memintanya membelanjakan wang ringgit kerana berapa banyak dari kalangan mereka yang berkedudukan, berharta dan berpangkat gugur dari jalan ini, lantaran rakus terhadap mata benda. Di dalam al-Quran al-Karim sendiri terdapat banyak ayat yang menjelaskan ciri-ciri keimanan yang dikaitkan dengan sifat pemurah.

Firman Allah SWT maksudnya : “Orang-orang yang mendirikan solat dan yang menafkahkan sebagian dari rezeki  yang kami berikan kepada mereka.”  (Surah al-Anfal ayat 3)

Firman-Nya lagi yang bermaksud : “Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan (di jalan Allah) maka pahalanya itu untuk diri kamu sendiri. Dan janganlah kamu membelanjakan sesuatu melainkan kerana mencari keredhaan Allah. Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan nescaya kamu akan diberikan pahalanya dengan cukup sedang kamu sedikitpun tidak dianiayai”.(Surah al-Baqarah ayat 272)

Orang-orang yang bakhil atau kikir seharusnya mendengar dan mengambil pelajaran dari pesanan Rasulullah Sallallahu’Alaihi Wasallam maksudnya : “Tidaklah hamba-hamba Allah bangun di pagi hari, kecuali disertai dengan turunnya dua malaikat. Salah satu dari keduanya lalu berkata : ‘Ya Allah berilah orang yang berinfaq ganti (dari barang yang diinfaqkan)’. Dan salah satu lagi berkata ; ‘Ya Allah berilah orang yang menahan (bakhil) akan kerugian.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kesepuluh : Qudwah Hasanah (Suri teladan yang baik)

 

Selain dari sifat-sifat yang disebutkan di atas, seorang mukmin mestilah menjadikan dirinya contoh ikutan yang baik kepada orang ramai. Segala tingkah lakunya adalah menjadi gambaran kepada prinsip-prinsip Islam serta adab-adabnya seperti dalam hal makan minum, cara berpakaian, cara pertuturan, dalam suasana aman, dalam perjalanan malah dalam seluruh tingkah laku dan diamnya. Membina diri menajdi suri teladan merupakan peranan besar yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah SAW.

Firman Allah swt yang bermaksud: "Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah " ( Surah al-Ahzab Ayat 21 )

Marilah kita beramal dengan 10 ciri-ciri akhlak mulia dan terpuji seperti yang dinyatakan di atas. Akhlak yang mulia dan terpuji adalah asset yang besar di dunia dan akhirat. Jika di dunia kita akan dikasihi oleh  manusia dan akan menjadi ikutan dan jika di akhirat akhlak yang mulia dan terpuji adalah menjadikan amalan yang memberatkan timbangan (mizan) kita di sana. Jadikanlah akhlak yang terpuji ini sebagai pakaian hidup kita dan menjadikan kita hamba Allah SWT yang diredai-Nya di dunia dan akhirat.

Dipetik dan disesuaikan dari     

Thursday 17 January 2013

Azab Tidak Menutup Aurat









 
Maksudnya:
Dan Katakanlah kepada perempuan-perempuan Yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang Yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali Yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya Dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka Yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka Yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki Yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak Yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa Yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, Wahai orang-orang Yang beriman, supaya kamu berjaya.

(Surah An Nur Ayat 31)

Rasulullah s.a.w. bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, yang bermaksud:

“Ada dua golongan dari ahli neraka yang belum pernah saya lihat keduanya itu: (l) Kaum yang membawa cambuk seperti ekor sapi yang mereka pakai buat memukul orang (penguasa yang kejam); (2) Perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencenderungkan orang lain kepada perbuatan maksiat, rambutnya sebesar punuk unta. Mereka ini tidak akan boleh masuk syurga, serta tidak dapat akan mencium bau syurga, padahal bau syurga itu tercium sejauh perjalanan demikian dan demikian.”

(Riwayat Muslim)

Balasan bagi orang yang melanggar larangan Allah, ialah azab yang amat pedih, antaranya:
  • Balasan wanita yang membuka rambut kepalanya selain suaminya, akan digantung dengan rambutnya di atas api neraka sehingga menggelegak otaknya, berterusan selama ia tidak menutupnya.
  • Dada yang sengaja dibuka atau ditonjolkan supaya kelihatan seksi, akan di gantung atas api neraka dengan pusat dan buah dadanya diikat dengan rantai neraka sebagai penggantungnya.
  • Betis dan paha yang terselak-selak, sedia untuk dipanggang..pedihnya tidak terkira.
Wanita di luar rumah dituntut supaya memakai pakaian seperti pakaian dalam sembahyang. bezanya, mungkin pendek sedikit bagi tujuan memudahkan pergerakkan. Tidak boleh terlalu ketat, sehingga menampakkan gerak punggung. sekalipun tebal seperti seluar jeans, tidak nipis atau jarang sehingga memperlihatkan apa yang di dalam. berseluar panjang boleh tetapi hendaklah dilabuhkan pakaian luarnya.

Wednesday 16 January 2013

Rukun Usrah

 بسم الله الرحمن الرحيم


Rukun Usrah dibahagikan kepada 3 perkara yang perlu dipelihara dan dihayati oleh setiap ahli usrah agar usrah yang dibentuk akan mencapai matlamatnya.

Tiga rukun tersebut ialah:

  •  At-Ta'aruf     -   berkenal-kenalan
  • At-Tafahum  -   bersefahaman
  • At-Takaful    -   bantu membantu

1. At-Ta'aruf

Iaitu berkenalan sesama anggota, seperti nama, pekerjaan, umur, latar belakang pendidikan, latar belakang keluarga, tempat tinggal, pengalaman yang dilalui selama ini sehingga masing-masing merasakan bahawa setiap anggota adalah sebahagian daripadanya dirinya sendiri. Asas kepada gerakan dakwah ialah kasih sayang dan ia bermula daripada pengenalan yang mendalam antara dua saudara.


Oleh itu, taaruf hendaklah berkenal-kenalan serta berkasih sayang dengan semangat cintakan agama Allah. Taaruf ini hendaklah daripada dua belah pihak-memberi dan menerima.


Apabila pengenalan telah berputik maka ia akan menghasilkan buah yang baik dalam pergaulannya.


Sabda Rasulullah Sollallahualaihiwasallam;

” Orang mukmin bagi orang mukmin itu laksana bangunan yang sebahagiannya memperkuatkan sebahagian yang lain”


Sabda Rasulullah sollallahualaihiwasallam Dalam hadis yang lain;

” Orang muslim ialah saudara bagi muslim yang lain, ia tidak menzaliminya dan tidak akan membiarkannya”


Sabda Rasulullah Sollallahualaihiwasallam;

” Perbandingan orang-orang mukmin dalam erti kasih sayang mereka, dan dalam persimpatian mereka adalah laksana badan yang satu”


 

2. At-Tafahum

Saling bersefahaman sesama anggota dalam beramal dan bertindak.

Persefahaman ini penting kerana ikatan tidak akan dapat dibentuk sekiranya tidak ada persefahaman yang mantaap di kalangan anggota. Apabila persefahaman ini wujud maka segala nasihat-manasihati menjadi baik. Apabila persefahaman terpaut sesama anggata maka ia akan membuahkan kasih sayang antara mereka.pabila persefahaman terpaut sesama anggata maka ia akan membuahkan kasih sayang antara mereka.Perasaan syak wasangka hilang, perasaan hasad dengki terhindar. Dua saudara tidak mengambil hati apabila ia di tegur oleh sahabat. Rukun tafahum ini berkait rapat dengan ukhuwwah kerana ukhuwwah tidak dapat dilaksanakan kecuali sudah ada persefahaman di kalangan mereka.


3.At- Takaful

Dalam kumpulan usrah hendaklah ada perasaan tolong-menolong dan bantu-membantu dikalangan saudara yang lain dalam menghadapi apa sahaja suasana yang memerlukan bantuan normal dan material samada bersifat peribadi mahupun keluarga. Oleh itu, saudara hendaklah bersungguh-sungguh untuk memikul bebanan sesama sendiri. Dasar takaful ini merupakan tunjang iman dan intipati ukhuwwah sejati. Saudara hendaklah bertanya khabar, ziarah menziarahi dan berganti kebajikan dengan cara tolong-menolong antara satu sama lain. Jangan biarkan saudara seperjuangan terlantar tanpa apa-apa berita dan pembelaan.


Renunglah Hadis Rasulullah mengenai kelebihan perkara tersebut-bermaksud;

” Keluar seorang dari kamu itu berjalan kerana hendak menolong saudaranya adalah lebih baik baginya daripada beriktikaf selama sebulan dalam masjid aku,”

Tuesday 15 January 2013

Usrah pelajar

بسم الله الرحمن الرحيم


Pendahuluan

Usrah pelajar ialah satu program penting untuk menyediakan para pelajar yang berfikrah dan berkualiti di bidang sahsiah dan kepimpinan yang mampu memenuhi aspirasi agama, bangsa dan negara.

Usrah dilaksanakan dengan menginsafi bahawa:

  •  Agama hanya akan dapat dirasakan oleh orang yang menegakkannya dalam diri masing-masing.
  •  Kebahagiaan dan ketenangan hanya akan dapat dirasai oleh mereka yang menghayati ajaran Islam.
  •  Kesabaran dan ketenangan jiwa hanya akan dikurniakan kepada mereka yang mendekatkan diri   kepada Allah S.W.T.
  •  Persaudaraan adalah penting bagi mewujudkan suasana kasih sayang dan hormat menghormati di kalangan pelajar.

Definisi Usrah

Usrah bererti keluarga. Dalam konteks sekolah ia membawa maksud keluarga yang wujud oleh pertalian akidah Islamiah, mempunyai kesatuan pemikiran dan sama-sama sedar akan kewajiban mengamalkan ajaran Islam untuk mencapai keredaan Allah S.W.T.

         Justeru, usrah bukanlah semata-mata majlis ilmu bahkan merupakan satu proses pendidikan untuk melahirkan para pelajar yang berilmu dan berkeperibadian  mulia di samping  memiliki kepimpinan yang tinggi.